Mohd Asri (kiri) bersama pegawainya menunjukkan rokok yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Asri (kiri) bersama pegawainya menunjukkan rokok yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Kelantan merampas sebanyak 11,200 karton rokok seludup bernilai RM1.5 juta termasuk cukai di Jalan Padang Melintang,

Tawang, Bachok, dekat sini, Isnin lalu.

Rampasan pada 2.30 pagi itu dibuat selepas pihak berkuasa berkenaan memeriksa sebuah lori tiga tan yang diletakkan di tepi jalan.

Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata, rokok jenama Zon King itu diseludup dari negara jiran dan akan dibawa ke Johor Bharu untuk pasaran buruh warga Myanmar.

"Kita membuat pemantauan selama dua hari dan mendapati rokok berkenaan dibawa melalui jalan laut menggunakan bot yang mendarat di Pantai Melawi, Bachok.

"Selepas beberapa jam menunggu, tiada pihak datang menuntut lori berkenaan dan kita merampas rokok bersama lori sebelum diserahkan kepada Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana kesalahan membawa barang larangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 4:40 PM