Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Melaka: Empat syarikat subkontraktor yang menjalankan kerja pemasangan paip di tapak pembinaan kondominium 36 tingkat di Kota Syah Bandar di sini dikenakan kompaun berjumlah RM45,000 kerana Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) tamat tempoh.

Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Melaka Alinda Puteh berkata, keempat-empat syarikat telah diberikan Notis Pemberhentian Kerja (Larangan Memulakan dan Meneruskan Kerja Pembinaan) di bawah Seksyen 25(1) Akta 520 LPIPM.

Beliau berkata, satu daripada empat syarikat subkontraktor terbabit dikompaun RM15,000 manakala tiga lagi masing-masing dikompaun sebanyak RM10,000.

"Empat syarikat terbabit telah diarah menghentikan kerja pembinaan serta-merta sehingga perakuan pendaftaran kontraktor mereka diperbaharui dan siasatan awal mendapati kebanyakan perakuan terbabit tamat kira-kira dua bulan lalu.

"Selain itu, sebanyak 13 syarikat subkontraktor yang menjalankan kerja pembinaan di tapak sama dikesan tidak mengisytihar projek dan boleh dikompaun tidak lebih RM25,000 bagi setiap syarikat terlibat," katanya selepas Operasi Penguatkuasaan Khas Bersepadu CIDB di sini hari ini.

Operasi lebih tiga jam bermula 9 pagi itu menyaksikan 43 anggota dan pegawai penguatkuasa CIDB, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka serta polis melakukan pemeriksaan di tapak pembinaan dan asrama pekerja asing.

Alinda berkata, sebanyak 69 tapak pembinaan membabitkan 4,438 pekerja asing dan 1,207 pekerja tempatan di sekitar Melaka diperiksa dalam tempoh 13 Januari hingga 19 Februari lalu.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan Negeri Melaka Anuar Mohd Nong berkata kedai makan dan kedai runcit di asrama pekerja asing tapak pembinaan terbabit tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19 kerana tidak menyediakan QR Code Mysejahtera atau buku rekod secara manual serta cecair pembasmi kuman.

Beliau berkata di kawasan rumah kongsi terbabit juga terdapat banyak bekas yang berpotensi menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes.

"Amaran bertulis telah dikeluarkan kepada pemilik kedai makan dan kedai runcit tersebut dan mereka diberi tempoh tiga hari untuk mematuhi SOP yang ditetapkan serta satu perintah di bawah Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154) dalam tempoh tujuh hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 6:18 PM