IDRIS   bersama pelajar selepas majlis perasmian Malam Orkestra Patriotik Kembara Siswa Bersama Komuniti 2016.
IDRIS bersama pelajar selepas majlis perasmian Malam Orkestra Patriotik Kembara Siswa Bersama Komuniti 2016.
Nor Shafinaz Sari


Melaka: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) masih menunggu laporan pegawainya yang ke Mesir bagi mendapatkan maklumat berhubung pelajar Malaysia mempunyai masalah tunggakan yuran pengajian sebelum mengambil tindakan susulan sewajarnya.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata, rombongan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPT Datuk Kamel Mohamed berangkat ke Mesir, Isnin lalu dan sudah pulang ke Malaysia, semalam.

Beliau berkata, sepanjang berada di Mesir, rombongan mengadakan perjumpaan dengan pelajar, pengurusan universiti dan wakil kedutaan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai masalah itu.

“Rombongan ini berbincang dengan pihak berkenaan sepanjang mereka berada di Mesir dan sekarang sedang menyiapkan laporan berhubung isu itu sebelum dibentangkan.

“Berdasarkan laporan dibentang itu kita akan buat keputusan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah ini, buat sementara waktu semua pihak diminta bersabar,” katanya selepas merasmikan Malam Orkestra Patriotik Kembara Siswa Bersama Komuniti 2016 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Kampus Durian Tunggal di sini, kelmarin.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Asma Ismail dan Naib Canselor (UTeM) Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

Mengulas isu sama, Idris berkata, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bakal melancarkan Tabung Pelajar Mesir, awal Oktober depan bagi membantu pelajar yang mempunyai tunggakan yuran pengajian.

Sementara itu, mengulas dakwaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bahawa negara berdepan krisis pendidikan tinggi berikutan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak mampu menampung pembiayaan, beliau berkata, Rafizi sepatutnya lebih positif dengan menyarankan peminjam untuk membayar balik pinjaman.

“Sarankan peminjam bayar balik, bukan sokong mereka supaya tidak bayar. Jika semua peminjam membuat pembayaran semula, isu ini tidak akan timbul, seterusnya memberi peluang kepada PTPTN membantu peminjam baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:22 AM