Anggota JIM memeriksa warga China yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan dalam talian di sebuah premis di Bandar Meru Raya, Ipoh semalam. Foto Ihsan JIM Perak
Anggota JIM memeriksa warga China yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan dalam talian di sebuah premis di Bandar Meru Raya, Ipoh semalam. Foto Ihsan JIM Perak
Muhammad Apendy Issahak

TIGA puluh dua lagi warga China yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian di Ipoh ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak di sebuah premis tiga tingkat di Bandar Meru Raya semalam.

Dalam serbuan 4.30 petang hingga 6 petang yang dijalankan 28 pegawai JIM itu juga berjaya menahan seorang lelaki tempatan.

Kesemua yang ditahan itu termasuk dua wanita berusia antara 18 hingga 41 tahun.

Pengarah JIM Perak Kamalludin Ismail berkata, kumpulan warga asing itu sedang leka menjalankan aktiviti dalam talian dan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa ada yang cuba melarikan diri dengan melompat pagar rumah tetapi berjaya ditahan berikutan premis terbabit sudah dikepung.

“Hasil serbuan itu, JIM merampas 37 komputer riba, 66 telefon bimbit, modem Internet, 71 keping pelbagai kad mesin juruwang automatik (ATM), 21 kad pengenalan China, mesin pembaca kad ATM/debit dan tujuh sim kad baru,” katanya dlaam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya sudah melakukan tiga serbuan pada 9, 11 Disember lalu dan semalam berjaya menahan seramai 137 warga China yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan dalam.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen kerana melakukan kesalahan melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

“Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa dan Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melindungi warga asing tanpa pas yang sah.

“Kesemuanya akan ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut selain JIM Perak akan terus mengesan dalang kepada aktiviti ini melalui pemantauan serta operasi secara berterusan.

“Orang ramai diminta menyalurkan menyalurkan maklumat dan melaporkan aduan agar tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut saluran yang betul membabitkan kegiatan warga asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 7:23 PM