ABDUL Kadir yakin penyeludup gading gajah didalangi pengganas Afrika.
ABDUL Kadir yakin penyeludup gading gajah didalangi pengganas Afrika.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Lapan lelaki warga Vietnam yang ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) ekoran rampasan organ hidupan liar minggu lalu, dipercayai berperanan sebagai kumpulan pemburu haram profesional.

Mereka dipercayai dibawa masuk ke negara ini oleh sindiket penyeludupan haiwan liar dilindungi untuk menjalankan aktiviti menjerat dan menangkap hidupan liar di dalam hutan Malaysia sebelum diseludup ke luar negara.

Siasatan mendapati kebanyakan paruh burung enggang, taring harimau, sisik tenggiling, pati atau hempedu hidupan liar itu mahu diseludup ke China berdasarkan permintaan tinggi di negara itu.

Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia Abdul Kadir Abu Hashim, berkata, gading gajah yang dirampas sebaliknya bukan milik gajah tempatan.

“Gading gajah itu dipercayai diseludup masuk dari Afrika untuk pasaran tempatan selain edaran ke China. Bagaimanapun gading gajah itu akan dihantar ke makmal forensik PERHILITAN bagi menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Saya yakin sindiket yang ditumpaskan baru-baru ini mempunyai rangkaian di peringkat antarabangsa dan saling berhubung antara satu sama lain untuk memasar serta mencari pelanggan baru,” katanya.

Beliau berkata, pulangan yang lumayan menyebabkan dalang sindiket tidak kisah untuk membayar denda dikenakan kepada ahli sindiket asalkan ‘perniagaan’ mereka kembali beroperasi.

Menurutnya, walaupun penyeludup yang ditangkap selalunya dikenakan denda yang tinggi antara RM100,000 dan RM500,000 namun mereka sanggup membayar denda kerana untung yang diperoleh adalah lebih tinggi.

“Saya yakin peningkatan rampasan organ dan trofi hidupan liar berkait rapat dengan permintaan tinggi dari pembeli di Asia.

“Sebagai contoh gading gajah siap diukir sebagai perhiasan dianggap simbol status seseorang di China. Malah, mengikut laporan dikeluarkan di Kenya, permintaan melambung tinggi di China menyebabkan harga gading seludup di pasaran meningkat tiga kali ganda dalam tempoh empat tahun,” katanya.

Malah, menurutnya, pengganas di benua Afrika memburu gading gajah sebagai sumber kewangan membabitkan kawasan timur laut Republik Demokratik Congo, utara Cameroon dan barat daya Zambia.

Mozambique mencatatkan kehilangan gajah sebanyak 53 peratus dalam tempoh lima tahun, manakala Angola kehilangan satu perlima daripada gajah mereka sejak 2005 dan Tanzania pula kehilangan 60 peratus gajah dalam tempoh lima tahun.

“Setakat Jun tahun ini, sebanyak 36 kes penyeludupan menggunakan laluan udara, air dan darat berjaya dipatahkan dan ia membabitkan warga asing dan tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 11:19 AM