Alias Abd Rani


Seremban: Buat julung kalinya, 9.55 tan gading gajah bernilai RM80 juta dirampas selepas diseludup dari beberapa negara Afrika sejak 2011 hingga tahun lalu dilupuskan di Pusat Kualiti Alam Sdn Bhd di Bandar Sri Sendayan di sini, jam 12.30 tengah hari semalam.

Proses pelupusan dijalankan dengan setiap gading dimasukkan ke mesin khas sebelum dihancurkan dalam bentuk ketulan kecil.

Difahamkan, lebih 4,000 gading gajah yang dirampas dalam tempoh berkenaan dengan setiap satu seberat lima kilogram (kg) hingga 40kg. Jumlah tertinggi rampasan adalah 2,366 gading yang dirampas di Pelabuhan Klang, Selangor pada 2012.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebahagian kecil gading terbabit disimpan untuk penyelidikan dan pendidikan.

Beliau berkata, tindakan dilakukan selaras dengan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) 1989 dengan gading yang dirampas perlu dimusnahkan untuk mengelakkan berlaku eksploitasi pihak tertentu.

“Gading ini dirampas di beberapa pintu masuk negara seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Butterworth, Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang, Selangor.

“Sebelum itu, gading yang dirampas menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) membabitkan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Universiti Washington, Amerika Syarikat (AS) bagi menentukan dari mana ia diperoleh.

“Hasilnya, kami dapati gading ini diseludup dari Gabon, Congo, Ghana, Ivory Cost, Tanzania, Mozambique, Zambia, Uganda, Kenya dan Sudan. Bagaimanapun, kami tidak dapat mengenal pasti siapa dalang sindiket kerana tidak tercatat nama penerima atau pengirim pada bungkusan gading ditemui,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelupusan Gading Gajah.

Ketika ditanya adakah gading itu untuk pasaran tempatan, Wan Junaidi berkata, ia agak mustahil kerana Malaysia tidak menghasilkan produk berasaskan bahan dilindungi itu.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan gading gajah itu dibawa ke beberapa negara termasuk Thailand, China dan Vietnam dengan menjadikan Malaysia sebagai transit.

“Kita tahu, di Malaysia tidak ada kraftangan berasaskan gading gajah berbanding negara lain seperti Taiwan dan Thailand. Justeru, tidak hairanlah apabila penyeludup menggunakan kargo udara untuk membawa masuk gading ini melalui Malaysia sebelum dihantar ke negara tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 7:55 AM
WAN Junaidi (tiga dari kanan) menunjukkan gading gajah yang dirampas.
WAN Junaidi (tiga dari kanan) menunjukkan gading gajah yang dirampas.