Anggota bomba menyelamatkan mangsa yang terkandas di Bukit Payung. FOTO Ihsan Bomba Johor
Anggota bomba menyelamatkan mangsa yang terkandas di Bukit Payung. FOTO Ihsan Bomba Johor
Nurul Amanina Suhaini


KECEKAPAN anggota bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan lelaki yang terkandas di Bukit Payung, Parit Sulong, Batu Pahat hari ini.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Sudin Manap berkata, mangsa, Mohamad Fazdrulnizam Adil, 26, terkandas di lereng bukit ketika dalam perjalanan turun.

“Selepas menerima panggilan kecemasan daripada rakan mangsa jam 9.28 pagi, sebuah jentera dan kenderaan pacuan empat roda bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

“Mangsa yang bekerja sebagai pemandu bas kilang itu dikatakan mendaki bukit berkenaan bersama tujuh rakannya dan mereka dalam perjalanan menuruni bukit.

“Bagaimanapun, mangsa berdepan masalah untuk turun kerana kekejangan otot menyebabkannya terkandas dan tidak boleh bergerak.

“Bomba berjaya membawa turun mangsa terbabit dalam keadaan yang selamat,” katanya.

Sudin berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi ditamatkan jam 12.02 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 7:06 PM