EMPAT lelaki disambung reman bagi bantu siasatan.
EMPAT lelaki disambung reman bagi bantu siasatan.
Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Seorang lagi individu direman menjadikan keseluruhan enam individu ditahan reman sehingga kini bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana bernilai RM15 juta.

Terbaharu, penahanan reman itu membabitkan seorang pengarah urusan sebuah syarikat berusia 42 tahun yang direman enam hari bermula semalam sehingga 2 September ini.

Lelaki terbabit berkhidmat di syarikat proksi kepada sebuah syarikat penerbitan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 11.09 malam kelmarin, selepas menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberikan keterangan berkaitan kes berkenaan.

Susulan itu, individu itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dan perintah tahanan reman ke atasnya dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, lelaki itu hadir di pekarangan Mahkamah Majistret dengan diiringi pegawai SPRM dan dilihat memakai baju lokap jingga, kedua-dua tangannya digari manakala, keseluruhan kepala dan mukanya turut ditutup.

Pada masa sama, Majistret turut membenarkan permohonan SPRM melanjutkan reman selama dua hari sehingga Selasa ini terhadap pengarah urusan sebuah institusi perbankan tempatan bergelar Datuk serta tiga yang lain iaitu bekas pegawai bank berkenaan, selain pengarah dan kakitangan sebuah syarikat penerbitan buku untuk kes sama.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan seorang pengarah urusan sebuah institusi perbankan tempatan bergelar Datuk ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana bernilai RM15 juta.

Pengarah urusan berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang di pejabatnya di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung tender penukaran sistem bank dan penerbitan biografi berkaitan seorang pemimpin negara.

Perintah tahanan reman selama tiga hari turut membabitkan tiga yang lain iaitu masing-masing bekas pegawai bank berkenaan, selain pengarah dan kakitangan sebuah syarikat penerbitan buku.

Kelmarin, seorang pengarah syarikat penerbitan buku direman tujuh hari bermula semalam sehingga 2 September ini bagi membantu siasatan untuk kes yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 9:38 AM