PUTRAJAYA 30 AUGUST 2016. Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa suspek seorang pengerusi bank syarikat milik kerajaan berpangkat Tan Sri untuk memohon perintah tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa melibatkan penerbitan biografi seorang tokoh negara di Mahkamah Majistret Putrajaya. NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL

Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Pengerusi bank tempatan bergelar Tan Sri ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan nilai RM15 juta.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Tan Sri berusia 65 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan

berhubung penerbitan buku biografi seorang pemimpin negara membabitkan nilai RM15 juta.

Beliau ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan berkenaan kes berkenaan.

Tan Sri berkenaan adalah individu ketujuh ditahan reman berkaitan kes berkenaan.

Sementara itu, Mahkamah Majistret sama turut membebaskan empat individu lain yang disiasat berkaitan kes sama iaitu seorang pengarah urusan bergelar Datuk; bekas pegawai bank berkenaan dan dua pemilik syarikat penerbitan buku.

Keempat-empat mereka ditahan reman selama lima hari sejak Jumaat lalu bagi membantu kes sama.

Jurucakap SPRM yang ditemui berkata, mereka dibebaskan hari ini selepas pihaknya melengkapkan siasatan ke atas mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 11:35 AM