Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Tiga daripada empat individu yang dibebaskan daripada tahanan reman semalam berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan nilai RM15 juta direman semula hari ini sehingga Jumaat.

Mereka yang direman itu ialah bekas

pengarah perolehan sebuah bank dan dua pemilik syarikat penerbitan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) akta pengubahan Wang haram, Pencegahan pembiayaan keganasan Dan hasil daripada aktiviti haram 2001 (AMLA).

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

Jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, ketiga-tiga individu terbabit ditahan semalam kira-kira jam 4 petang di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan di sini.

Semalam, media melaporkan, Pengerusi sebuah bank tempatan bergelar Tan Sri ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan nilai RM15 juta.

Tan Sri berusia 65 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung penerbitan buku biografi seorang pemimpin negara.

Sementara itu, Mahkamah Majistret semalam turut membebaskan empat individu lain semalam termasuk seorang pengarah urusan bergelar Datuk.

Bagaimanapun, tiga daripadanya direman semula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 6:26 PM