MOHD Tamin (kanan) bersama isterinya, Latifah Md Yusof mengemas kain ihram.
MOHD Tamin (kanan) bersama isterinya, Latifah Md Yusof mengemas kain ihram.

Alor Gajah: Bakal jemaah Mohd Tamin Othman, 62, terharu apabila terpilih menunaikan haji di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri tajaan Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seri Tanjung, Masjid Tanah itu menganggap dirinya bertuah dan tidak sabar untuk berangkat ke Tanah Suci esok.

Sebelum ini, Mohd Tamin bekerja sebagai pemandu lori di sebuah kilang di Senawang, Negeri Sembilan dengan gaji bulanannya hanya cukup untuk perbelanjaan membesarkan lapan anak.

“Saya sebelum ini perlu mendahulukan wang simpanan untuk membeli rumah kos rendah kerana mahu anak-anak tinggal di kediaman sempurna selain membesarkan mereka dan menampung perbelanjaan persekolahan.

“Setiap kali menyemak baki simpanan, saya sedih kerana tidak cukup untuk menampung kos menunaikan haji, tetapi Alhamdulillah pada Ramadan lalu, saya dihubungi Tabung Haji (TH) memaklumkan nama tersenarai antara 1,100 bakal jemaah ke Tanah Suci menerusi program itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia memegang jawatan itu sejak empat tahun lalu dan sudah memohon untuk menunaikan haji, namun hampa berikutan nama tidak tersenarai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 6:45 AM