FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Cadangan meningkatkan had pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengerjakan haji dapat meringankan beban pencarum yang berhasrat menunaikan rukun Islam kelima itu dalam cabaran ekonomi tidak menentu ketika ini.

Pencarum, Roslan Mohamed, 52, menyifatkan, peningkatan had daripada RM3,000 tepat masanya dalam rakyat terkesan dengan cabaran kos sara hidup tinggi dan kos menunaikan haji yang semakin meningkat.

"Kalau sudah sampai seruan lebih baik guna duit KWSP kerana ini memang duit kita. Tambahan lagi sekarang jemaah golongan T20 perlu membayar sendiri keseluruhan kos menunaikan haji iaitu kira-kira RM30,850 manakala M40 RM15,980 kerana hanya 48 peratus ditanggung kerajaan.

"Jadi, mungkin ini antara kaedah (tingkatkan had pengeluaran Akaun 2 untuk haji) boleh dilaksanakan kerana tidak membebankan kerajaan dan dalam masa sama meringankan kos ditanggung jemaah," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, bagaimana kaedah serta berapa nilai tambahan sewajarnya perlu difikirkan kerajaan berdasarkan kumpulan pendapatan jemaah dan baki dalam simpanan KWSP.

"Kena tengok balik, mungkin untuk M40 bawah RM10,000 kerana kerajaan masih menanggung 48 peratus daripada kos haji manakala T20 mungkin lebih RM10,000 kerana perlu tanggung sepenuhnya sendiri.

"Bagaimanapun, ini tertakluk kepada budi bicara kerajaan dan KWSP bagaimana mahu melaksanakannya supaya memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak," katanya.

Sementara itu, Datin Seri Norliana Alias, 48, berkata, dia turut menyambut baik sekiranya kerajaan dapat melaksanakan inisiatif berkenaan kerana dapat membantu pencarum meneruskan niat untuk menunaikan haji dalam cabaran semasa ini.

"Dengan kos semakin mahal mungkin menyebabkan ramai orang termasuk M40 dan T20 terpaksa memendam hasrat menunaikan haji sedangkan mereka mempunyai keinginan menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

"Bagi saya tidak salah guna duit KWSP untuk membantu pencarum tunai haji kerana itu duit kita. Lagipun nak tunai haji tak perlu berhutang.

"Bagi saya kalau dapat keluarkan kos tunai haji sepenuhnya lagi bagus sebab hendak pergi sana memang memerlukan belanja besar," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengadakan perbincangan lanjut dengan KWSP bagi meneliti cadangan berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Strategis KWSP, Nurhisham Hussein dilaporkan berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan meningkatkan jumlah pengeluaran menunaikan ibadat haji dalam Akaun 2 jika mendapat permintaan daripada kerajaan susulan kenaikan kos menunaikan haji.

Pada masa sama, Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Saleh Syed Abdul Rahman turut berkata kos haji meningkat kepada RM30,850, berbanding RM28,632 tahun lalu.

Untuk rekod, sejak 2013, pencarum dibenarkan mengeluarkan Akaun 2 bagi tujuan menunaikan haji, namun dengan had pengeluaran ialah RM3,000 saja.

Berdasarkan laman web KWSP, mereka yang layak melakukan pengeluaran ini ialah pencarum berusia bawah 55 tahun dan dipilih TH dengan simpanan dalam TH tidak mencukupi untuk menampung kos menunaikan haji.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 12:14 PM