BAKAL haji mengeluarkan wang di kaunter kewangan TH yang beroperasi di hotel Movenpick, Madinah.
BAKAL haji mengeluarkan wang di kaunter kewangan TH yang beroperasi di hotel Movenpick, Madinah.
Tuan Asri Tuan Hussein


BAWA tunai 500 Riyal sudah cukup. Itu pesanan Tabung Haji (TH) kepada bakal haji mengenai mata wang Riyal yang perlu dibawa mereka ke Madinah atau Makkah bagi kegunaan awal serta tujuan kontigensi.

"Jumlah itu sudah mencukupi untuk kegunaan dua hingga tiga hari selepas tiba," kata Pengarah Operasi Kewangan TH Nor Aida Ahmad ketika ditemui wartawan Malaysia di Madinah.

Menurutnya, bakal haji tidak perlu risau jika mereka memerlukan lebih banyak wang selepas itu kerana pengeluaran wang daripada akaun TH boleh dilakukan di kaunter kewangan yang disediakan TH di zon penginapan dan maktab-maktab.

MyKad dan buku akaun TH tidak diperlukan, sebaliknya bakal haji hanya perlu membawa tag pengenalan diri untuk urusan pengeluaran wang dengan jumlah pengeluaran maksimum adalah 5,000 Riyal sehari.

Nor Aida berkata, semua transaksi dalam mata wang Riyal Arab Saudi dan pihaknya tidak menyediakan khidmat tukaran wang daripada Ringgit Malaysia kepada Riyal Arab Saudi.

"Apa yang penting, semua bakal haji perlu memastikan mereka sudah membuat imbasan cap jari biometrik sebelum meninggalkan tanah air.

"Jika imbasan cap jari biometrik bakal haji yang tiada dalam rekod kami, apa juga urusan kewangan tidak boleh dilakukan," katanya.

Menurutnya, sembilan kaunter kewangan disediakan di Madinah iaitu empat di Zon 1 (Hotel Al Haram), tiga di Zon 2 (Hotel Movenpick) dan dua di Zon 3 (Hotel Rowadha Al Aqiq).

Nor Aida berkata, selain urusan pengeluaran dan menyimpan wang, bakal haji juga boleh membayar dam dan kos ibadat korban di kaunter kewangan yang disediakan.

Unit Kewangan TH keseluruhannya memiliki kekuatan 47 kakitangan iaitu 40 juruwang dengan 31 ditempatkan di Makkah dan sembilan di Madinah manakala selebihnya melakukan kerja pengurusan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 11:42 AM