SABIRIN tidak mengaku bersalah atas tuduhan mengaku sebagai Sultan Melaka dan memperdayakan mangsanya di mahkamah, semalam.
SABIRIN tidak mengaku bersalah atas tuduhan mengaku sebagai Sultan Melaka dan memperdayakan mangsanya di mahkamah, semalam.
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tiga pertuduhan mengaku Sultan Melaka dengan memperdayakan mangsanya mendapatkan persalinan diraja Melaka membabitkan kerugian RM2,100, pada Mei lalu.

Tertuduh, Sabirin Yusof, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Berdasarkan pertuduhan, suami kepada dua isteri dan bapa 16 anak itu didakwa menipu Poniran Sumardi, 55, dengan memperdayakan mangsa bahawa dia adalah Sultan Melaka.

Tertuduh yang beralamat di Kuarters Istana Bukit Serene, dekat ini, didakwa boleh menolong mangsa mendapatkan persalinan diraja Melaka dengan mendorong menyerahkan wang tunai RM2,100.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Pesona 12, Taman Pelangi Indah, Johor, antara awal, pertengahan dan penghujung Mei lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Ariffin, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Yusri Ahmad Fuad yang menyebut bagi pihak peguam Nordin Hussin.

Terdahulu, tertuduh yang diiringi polis dilihat memasuki mahkamah jam 10 pagi sebelum menunggu setengah jam kemudian bagi membolehkan Mohd Azlan menyelesaikan kes-kes terdahulu yang dirujuk di hadapannya.

Bagaimanapun, seorang lelaki dilihat menghampiri tertuduh menyebabkan perbuatannya berdekatan kandang tertuduh ditegur Mohd Azlan sebelum meminta beredar dan tidak menghampiri tertuduh yang bakal berdepan pertuduhan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap kertas pertuduhan.

Ahmad Yusri bagaimanapun merayu supaya tertuduh diberikan jaminan paling minimum berikutan mempunyai tanggungan dua isteri dan 16 anak dengan memperoleh pendapatan RM1,800 sebulan sebagai pengawal keselamatan.

Mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohd Azlan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen pada 4 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 9:56 AM