Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang Pembantu Penguat kuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, tadi, atas 12 pertuduhan menerima rasuah secara bulanan berjumlah RM8,500.

Suapan itu diterimanya bagi melindungi syarikat pengangkutan lori daripada diambil tindakan undang-undang antara April 2020 hingga Mac 2021.

Tertuduh, Ahmad Jamil Md Saru, 40, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan meminta supaya dibicarakan selepas dibacakan semua pertuduhan pada prosiding didengar Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke 10, dia didakwa memperoleh suapan bulanan RM500 tanpa balasan daripada Syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise dengan mengetahui syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di Maybank Merlimau, Jasin pada 28 April, 9 Jun, 9 Julai, 17 Ogos, 11 Oktober, 12 November dan 15 Disember 2020 serta pada 11 Januari, 15 Februari dan 3 Mac 2021.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Dua pertuduhan turut dibacakan ke atas tertuduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi dakwaan memperoleh suapan berjumlah RM3,500 melalui pindahan wang.

Tertuduh didakwa menerima suapan itu antara 28 April 2020 hingga 12 November 2020 dan antara 11 Januari hingga 12 Mac 2021 di Maybank Cawangan Melaka Raya di sini, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas lori syarikat itu mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesalahan bagi Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat yang menjalankan pendakwaan mencadangkan jaminan RM4,500 bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan dan pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon jaminan rendah kerana mempunyai tanggungan isteri dan dua anak termasuk seorang daripadanya orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin serta diperintah melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM sehingga perbicaraan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 3:44 PM