MAHDZIR (tiga dari kiri) bersalaman dengan perwakilan yang hadir selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Selangor.
MAHDZIR (tiga dari kiri) bersalaman dengan perwakilan yang hadir selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Selangor.

Kuala Selangor: Semua ahli UMNO disaran mengambil pendekatan bertenang dalam pelbagai isu yang melanda bukan mengambil keputusan meninggalkan parti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ahli seharusnya lebih bijak dan matang dalam menilai pelbagai isu dan tidak mudah melatah jika didesak pihak tertentu.

Beliau berkata, tindakan beberapa bekas pemimpin UMNO yang keluar parti dan menubuhkan parti baru adalah disebabkan rasa tidak puas hati terhadap UMNO.

“Jika ada antara kita tidak berpuas hati dengan pemimpin UMNO, saya sarankan duduk dulu dan ambil masa bertenang, jangan terus angkat beg meninggalkan parti.

“Esok (hari ini) ada satu parti ditubuhkan bekas pemimpin UMNO, ini semua disebabkan rasa tidak puas hati dan tidak bersabar ketika sesuatu isu melanda negara,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat sayap UMNO Bahagian Kuala Selangor, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mahdzir menggesa semua ahli bersatu hati dan tidak berpecah belah kerana ia memberi laluan kepada pembangkang untuk mentadbir negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 9:20 AM