Jeli: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO di Kelantan laksana tiga prinsip utama jika mahu menawan Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) nanti.
Tiga prinsip itu adalah menangi hati dan minda rakyat, elak budaya cah keting dan tidak amalkan sikap kabilah dalam parti.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, yakin gerak kerja parti ketika PRU14 akan lebih lancar sekiranya prinsip berkenaan dilaksana semua pimpinan pelbagai peringkat.
"Utamanya pemimpin perlu memenangi hati dan minda rakyat dengan cara yang bijaksana.
"Pemimpin perlu sentiasa turun padang untuk bersama mereka, bukannya bermusim atau ketika hampir dengan pilihan raya sahaja.
"Gerak kerja yang kita lakukan juga mestilah mampu memenangi hati dan minda rakyat supaya mereka sayang kepada kita," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli, di Pusat Dakwah Jeli, Pondok Moden di sini tadi yang dihadiri lebih 8,000 rakyat.
Ahmad Zahid berkata, bagi prinsip kedua dan ketiga, UMNO perlu mengelakkan budaya lama 'cah keting' dan berkabilah dalam parti.
"Siapa pun pemimpin kita harus akur, jangan ada yang suka cah keting selain kita perlu menjauhi sikap berkabilah atau berpuak-puak dalam kalangan pemimpin dan ahli," katanya.
Beliau juga mahu semua pemimpin dan ahli UMNO bersatu atas nama UMNO, walaupun berbeza latar belakang.
Selepas ini, Ahmad Zahid dijadualkan akan menunaikan Solat Jumaat di Masjid Mukim Gual Jedok, Tanah Merah sebelum menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat diKolej Kemahiran Tinggi MARA, Lubok Jong, Pasir Mas jam 3 petang.