Semenyih bakal meriah menjelang PRK DUN Semenyih tidak lama lagi.
Semenyih bakal meriah menjelang PRK DUN Semenyih tidak lama lagi.
Nadia Hamid

UMNO Bahagian Hulu Langat menolak syor mempertaruhkan calon ‘payung terjun’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz berkata, perkara itu diputuskan ketika mesyuarat pengurusan bahagian, di sini, petang tadi.

“UMNO Bahagian memutuskan menolak calon payung terjun dan sedang menyenarai pendek beberapa nama calon, untuk dikemukakan kepada kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) pusat.

“Calon mestilah pengundi DUN Semenyih (calon tempatan),” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau mengulas kenyataan Pergerakan Pemuda UMNO yang sedia meletakkan calon muda muka baharu PRK Semenyih.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya sudah menggerakkan kumpulan penyelidik untuk mendapatkan maklum balas penduduk setempat mengenai calon UMNO layak dipertaruhkan di Semenyih.

Ditanya sama ada beliau sedia dicalonkan semula, Johan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, yang hampir 10 tahun berkhidmat menyerahkan kepada pucuk kepimpinan BN memutuskan calon layak bertanding.

Katanya, beliau optimis BN akan mempertaruhkan calon yang boleh membantu parti menawan semula kawasan berkenaan.

“Saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk putuskan. Sebelum ini, saya bertanding atas kapasiti parti,” katanya.

Mengulas cadangan supaya Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dicalonkan, Johan yang juga Setiausaha BN Selangor, menggesa semua bahagian dan cawangan mencapai kata sepakat.

“Dalam keadaan BN yang ‘kaki terikat, tangan dirantai’ saya rasa lebih baik, kita jaga padang masing-masing.

“Saya bukan menafikan kredibiliti orang muda, tetapi kena tengok situasi semasa di Semenyih.

“Kita pun masih ada ramai pengundi lama,” katanya.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas Bakhtiar Mohd Nor, 57, wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan meninggal dunia akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.

Bakhtiar mengalahkan Johan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum memutuskan tarikh PRK Semenyih, susulan DUN Selangor masih menunggu surat pengesahan kematian daripada keluarga Allahyarham Bakhtiar sebelum mengeluarkan notis kekosongan kerusi.

Notis kekosongan kerusi DUN itu bertujuan memaklumkan SPR untuk memulakan proses mengadakan PRK Semenyih.

PRK Semenyih adalah PRK keempat di Selangor dalam tempoh lapan bulan selepas PRU-14, Mei tahun lalu.

Selangor sebelum ini sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 10:21 PM