Ahmad Razif (tengah) bersalaman dengan tetamu sambil diperhatikan Halina   pada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Bersama SERIKANDI 2016 di Dewan Permata Permai Hotel, semalam.
Ahmad Razif (tengah) bersalaman dengan tetamu sambil diperhatikan Halina pada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Bersama SERIKANDI 2016 di Dewan Permata Permai Hotel, semalam.

Kuala Terengganu: “Itu pandangan peribadi beliau dan saya menghormatinya,” demikian reaksi Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman mengenai kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil Ghazali Taib yang meminta pimpinan tertinggi UMNO mengambil tindakan segera menyelesaikan kemelut pentadbiran di Terengganu.

Ahmad Razif berkata, beliau tidak bercadang mengenakan tindakan disiplin terhadap Ghazali, tetapi pada masa sama menjelaskan sebarang keputusan berkaitan perkara itu berdasarkan persetujuan secara kolektif.

“Tidak ada tindakan. Saya tidak nampak perkara ini satu masalah. Apapun saya serah kepada pihak lain tetapi bagi kita tidak ada masalah kerana kita hormat pandangan peribadi beliau dan sebarang keputusan secara bersama,” katanya kepada media selepas majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Bersama SerikandI 2016 di sini, semalam.

Hadir sama isterinya yang juga Yang Dipertua SERIKANDI Halina Zakaria.

Semalam, akhbar melaporkan mengenai Ghazali membuat kenyataan secara terbuka mempersoalkan kewibawaan kepemimpinan Ahmad Razif.

Ghazali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri dilaporkan percaya semua pemimpin atasan menyedari kepincangan pentadbiran di Terengganu tetapi mengambil langkah berhati-hati kerana memikirkan kepentingan semua pihak terutama parti dan rakyat negeri itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata, Ghazali tidak pernah berjumpa dengannya secara bertentang mata bagi membincangkan hal berkenaan.

“Suasana politik Terengganu sekarang amat stabil. Kita akan teruskan pentadbiran ini dan yang penting sekarang, saya perlu terus bergerak ke hadapan kerana yang penting adalah khidmat kepada rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 6:43 AM