IQMAL Haziq
IQMAL Haziq
Syanty Octavia Amry


Walaupun sudah lama single pertamanya dilancarkan, tetapi masih ada yang tidak tahu akan kewujudannya.

Namun, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat pendatang baru, Iqmal Haziq Hairinal, 16, untuk terus bertahan dan mempromosikan single berjudul Sedar.

Bagi Iqmal, biar lambat asalkan dia mampu bertahan lama dalam industri muzik.

Mungkin juga kerana masih bersekolah dan terikat dengan jadual pelajaran membuatkan waktu Iqmal agak terhad.

“Single sedar sudahpun dilancarkan sejak April lalu. Tidak saya nafikan masih ada yang kurang mengenali saya.

“Saya tidak kecewa sebaliknya akan terus berusaha untuk mendekatkan diri dengan peminat melalui media sosial.

“Saya harap dengan cara itu mereka dapat mengenali saya dengan lebih dekat,” katanya.

Mula menyanyi sejak usia enam tahun, bakat Iqmal dikesan Razif Projector Band. Malah, single Sedar berkonsepkan pop rock dicipta sepenuhnya oleh Razif.

“Saya sangat meminati lagu rock. Tidak sangka lagu Sudah Ku Tahu yang saya sering nyanyikan di laman sosial memberi ruang untuk saya bergelar penyanyi.

“Saya juga menyimpan hasrat satu hari nanti dapat berdiri sebaris dengan penyanyi baru yang popular sekarang ini,” katanya.

Jika mendengar suara Iqmal ia persis Aiman Tino. Tidak menafikan perkara itu, Iqmal berkata, dia tiada niat meniru suara Aiman.

“Semua ini hanya kebetulan, saya sendiri tidak perasan yang suara sama dengan Aiman. Tetapi bagi saya masing-masing ada keunikan sendiri.

“Seperti saya, suara ada sedikit serak sangat berbeza dengan Aiman. Pun begitu, saya positif menerima pandangan setiap orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 11:31 AM