Keadaan lori tanah yang tersangkut di jejantas di Kilometer 44 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Taman Penggawa, Sungai Lias, semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
Keadaan lori tanah yang tersangkut di jejantas di Kilometer 44 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Taman Penggawa, Sungai Lias, semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Pengguna jalan raya gempar apabila sebuah lori tanah tersangkut dan terjongket pada jejantas di Kilometer 44, Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran Sungai Lias, di sini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 4.45 petang semalam, ketika kenderaan berat itu selesai tugas menurunkan tanah di kawasan pembinaan berhampiran.

"Lori itu kemudian meneruskan perjalanan. Secara tiba-tiba, bahagian mengisi muatan di belakang lori terangkat dan tersangkut pada jejantas.

"Difahamkan kemalangan berlaku akibat kerosakan butang hidraulik pada lori itu. Bagaimanapun, pemandu lori berusia 32 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian dada," katanya.

Beliau berkata, akibat daripada kemalangan itu, lori dipandu mangsa mengalami kerosakan dan usaha mengeluarkan lori itu berjaya dilakukan beberapa jam kemudian.

Terdahulu tular rakaman video dan gambar di laman sosial menunjukkan lori tanah terbabit tersangkut di jejantas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 4:00 PM