Helikopter Agusta AW139 APMM melakukan operasi menyelamat sempena LIMA 2017 berhampiran Pulau Singa Besar dan Dayang Bunting, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Helikopter Agusta AW139 APMM melakukan operasi menyelamat sempena LIMA 2017 berhampiran Pulau Singa Besar dan Dayang Bunting, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Seramai 600 peserta mewakili 30 agensi kerajaan dan swasta terbabit dalam Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 berhampiran Pulau Singa Besar dan Dayang Bunting, di sini, hari ini.

Latihan mulai jam 10.30 pagi turut membabitkan penggunaan helikopter EC 725 Cougar milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agusta AW139 daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta kapal KD Kinabalu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi TUDM juga selaku Ketua Eksesais SAREX, Brigadier Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin berkata, latihan itu bertujuan menguji tahap kecekapan anggota menghadapi sebarang masalah dan kecemasan.

"Pada masa sama, kita menguji, menilai dan menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) dan manual sedia ada yang digunakan semasa berhadapan dengan situasi kemalangan udara.

"Eksesais ini membabitkan dua elemen utama iaitu operasi menyelamat maritim diadakan hari ini di sekitar perairan Pulau Singa Besar dan Dayang Bunting, manakala latihan menyelamat di darat akan diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, esok," katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

LIMA 2017 akan berlangsung dari 21 hingga 25 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 1:19 PM