TOYOTA Wish klon dipandu seorang wanita yang  disita JPJ.
TOYOTA Wish klon dipandu seorang wanita yang disita JPJ.
Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Seorang wanita yang melaram dengan memandu kenderaan ‘raya’ klon model Toyota Wish berputih mata apabila ditahan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam kejadian jam 11 malam kelmarin, wanita berusia 33 tahun dan bekerja sebagai polis bantuan itu ditahan dalam operasi khas di Jalan Bangsar.

Wanita itu mendakwa membeli kenderaan itu pada harga RM12,000 dan menggunakan kenderaan itu sejak beberapa bulan lalu.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur Datuk Md Ziki A Rahman berkata, hasil pemeriksaan terhadap enjin dan nombor casis Toyota Wish itu mendapati ia adalah kenderaan klon.

“Hasil soal siasat dijalankan terhadap pemandu wanita terbabit, dia mengaku membeli kereta Toyota Wish itu pada harga RM12,000 di Johor Bahru beberapa bulan lalu.

“Tanpa berselindung, wanita itu turut mengaku dia mengetahui kenderaan yang dibelinya itu kenderaan klon,” katanya ketika ditemui dalam operasi di Jalan Bangsar, kelmarin.

Md Ziki berkata, pihaknya percaya kenderaan itu dibeli daripada sindiket kereta klon yang dibawa masuk dari Singapura.

“Pihak kami ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak ghairah dan mudah terpedaya dengan tawaran memiliki kereta mewah dengan harga murah.

“Orang ramai perlu tahu, kereta klon ini tidak dilindungi insurans. Sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini seperti kemalangan, pemilik yang perlu menanggung risiko,”katanya.

Sehubungan itu, Md Ziki menyarankan kepada mana-mana individu memiliki atau mengesyaki kenderaannya diklon tampil ke pejabat JPJ berhampiran dan menyerahkan kenderaan secara sukarela bagi mengelak tindakan tegas dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 10:33 AM