Kenderaan klon yang disita JPJ Selangor tahun ini. - Foto Fail
Kenderaan klon yang disita JPJ Selangor tahun ini. - Foto Fail
BERNAMA

Seremban: Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Sri Ismail Ahmad berkata jabatan itu mempunyai kepakaran mengesan kereta klon.

Kebanyakan kereta klon yang disita ialah kereta yang dibawa masuk ke negara ini dari negara jiran (Singapura) dan sejak November 2014 hingga Mac lalu, JPJ menyita dan mengambil tindakan terhadap 1,535 kereta klon di seluruh negara.

"Ia ditawar dengan harga berbeza mengikut jenis kenderaan, Ada yang sekitar RM12,000 berbanding harga pasaran RM100,000. Antara kereta mewah menjadi pilihan pembeli ialah Toyota Wish, Honda, Subaru, BMW dan Mercedes Benz," katanya selepas merasmikan majlis sambutan Hari JPJ Ke-70 2016 peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini

Katanya sindiket menjual kereta klon biasanya menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan kenderaan jenis sama yang sah digunakan di negara ini tetapi menggunakan cukai jalan tidak sah.

"Apabila maklumat dalam sistem JPJ berbeza dengan maklumat pada kenderaan, kami akan menyita kenderaan itu dan seterusnya mengeluarkan saman,” katanya.

Ismail menasihatkan orang ramai agar tidak mudah tertipu dengan penjual kereta klon dan perlu merujuk pihak berkuasa untuk langkah keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:15 PM