ANTARA 108 kenderaan klon yang berjaya disita termasuk kenderaan mewah dipercayai dari  Singapura sejak Januari 2015 di Ibu Pejabat JPJ, Bukit Katil, Melaka.
ANTARA 108 kenderaan klon yang berjaya disita termasuk kenderaan mewah dipercayai dari Singapura sejak Januari 2015 di Ibu Pejabat JPJ, Bukit Katil, Melaka.
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Dua Honda Odyssey perak, menggunakan nombor pendaftaran sama iaitu WLY8276 antara 108 kenderaan klon disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri antara Januari 2015 hingga bulan ini.

Pengarahnya, Mohd Fadhil Hasan berkata, Honda Odyssey terbabit ditahan di lokasi hampir sama hanya beberapa bulan selepas penahanan kenderaan pertama.

“Honda Odyssey pertama ditahan 11 Ogos tahun lalu di sekitar Duyong manakala yang kedua, ditahan di Duyong juga tetapi lokasinya berbeza, 23 November 2015.

“Berdasarkan penahanan kedua-duanya di lokasi hampir sama, kami yakin dua kenderaan klon terbabit ada kaitan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua Honda Odyssey klon itu membabitkan individu berbeza.

Menurut beliau, sepanjang tempoh berkenaan juga, pihaknya mendapati Toyota Vios paling banyak diklon diikuti Honda Jazz dan Honda Odyssey.

“Selain Toyota dan Honda, kami dapati aliran terkini pengklonan kenderaan membabitkan Subaru Impreza,” katanya.

Difahamkan, harga pasaran bagi Subaru Impreza ialah kira-kira RM180,000 namun bagi yang diklon, ia dibeli pada harga RM10,000 hingga RM15,000.

BMW 5 Series yang harga pasarannya sekitar RM200,000 pula dijual pada harga RM20,000 manakala Toyota Vios terpakai berharga RM40,000 boleh dimiliki pada harga RM5,000.

Mohd Fadhil berkata, kesemua kenderaan klon terbabit kebanyakannya dipandu golongan muda dan majoritinya ditahan di Melaka Tengah diikuti Alor Gajah serta Jasin.

Beliau berkata, penahanan kenderaan klon itu dibuat menerusi Operasi Bersepadu dan Operasi Harian dengan pemantauan dijalankan anggota yang melakukan rondaan.

Menurut beliau, sepanjang tempoh itu juga, enam kes memiliki kenderaan klon sudah didakwa dan dijatuhi hukuman membabitkan denda RM6,300.

Justeru, Mohd Fadhil menggesa orang ramai yang curiga kenderaan dibeli pada harga murah supaya tampil ke JPJ untuk pemeriksaan.

“Lebih baik tampil ke JPJ membuat pemeriksaan walaupun terpaksa menyerahkan kenderaan berkenaan berbanding ditahan dan didakwa memiliki kenderaan klon.

“Mereka yang memiliki atau memandu kenderaan klon boleh didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Antara peruntukan undang-undang di bawah akta ini adalah Seksyen 7 iaitu menggunakan kenderaan yang tidak didaftar, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000,” katanya, semalam.

Peruntukan undang-undang lain ialah Seksyen 15 kerana tiada lesen kenderaan motor dan boleh didenda hingga RM5,000, Seksyen 90 tiada dilindungi insurans, sabit kesalahan boleh didenda hingga RM1,000 atau penjara hingga tiga bulan atau kedua-duanya, serta Seksyen 108 kerana menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain, sabit kesalahan boleh didenda hingga RM20,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 9:25 AM