Sebahagian kereta klon yang disita JPJ Terengganu.
Sebahagian kereta klon yang disita JPJ Terengganu.
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu rampas 22 kereta klon bernilai lebih RM1 juta membabitkan pelbagai model termasuk kenderaan mewah sejak dua bulan lalu.

Pengarahnya Abdul Rahman Emang Anyie berkata, pelbagai kenderaan termasuk jenis Mini Cooper, Subaru Impreza, Honda Jazz, Honda City, Honda Odyssey dan Toyota Wish disita pihaknya dengan Kuala Terengganu merekodkan jumlah terbanyak.

Beliau berkata, keghairahan orang ramai untuk memakai kereta mewah dan import menyebabkan kebanyakan mereka tidak menghiraukan risiko membeli kereta klon yang dijual pada harga murah oleh sindiket.

"Sebagai contoh, kereta Honda Odyssey yang harga pasarannya melebihi RM100,000 hanya dijual serendah harga RM10,000 hingga RM12,000 seunit oleh sindiket.

"Ia menyebabkan orang ramai mudah tertarik selain sindiket ini turut agresif membuat promosi dengan membuat panggilan kepada golongan sasaran mereka dan menerusi laman sosial," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ di sini, hari ini.

Sejak 2014, sebanyak 254 kenderaan klon disita pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 1:26 PM