NAZLI meninjau sebahagian kereta klon yang disita dan ditempatkan di JPJ Negeri Selangor, Padang Jawa Seksyen 16, Shah Alam.
NAZLI meninjau sebahagian kereta klon yang disita dan ditempatkan di JPJ Negeri Selangor, Padang Jawa Seksyen 16, Shah Alam.

Shah Alam: Hanya bermodalkan RM4,000, pembeli boleh mendapatkan kereta klon Toyota Vios daripada sindiket yang menyeludup masuk kenderaan berkenaan ke negara ini.

Malah tawaran potongan harga lebih 50 peratus untuk kenderaan mewah seperti Audi, Volkswagen dan BMW menyebabkan pembeli sanggup mengambil risiko semata-mata mahu memiliki kereta klon terbabit.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Nazli Md Taib berkata, hasil risikan serta maklumat awam, skuad khas JPJ merampas 91 kenderaan klon pelbagai jenis di negeri ini sejak 2015 sehingga kelmarin.

“Semua kenderaan yang berstatus perlu dilupus dari Singapura yang sepatutnya dilupuskan diseludup ke negara ini oleh sindiket sebelum ia diklon menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang didaftarkan di Malaysia.

“Kenderaan klon itu dijual lengkap dengan cukai jalan palsu membabitkan harga RM4,000 hingga RM60,000, bergantung kepada model. Sindiket turut menggunakan nombor pendaftaran yang dilupuskan pemilik asal, selain menggunakan kenderaan potong sebagai kenderaan klon.

“Siasatan terhadap pemilik kenderaan juga mendapati, segelintir daripada mereka tidak mengetahui ia kenderaan klon,” katanya, di sini, semalam.

Menurut Nazli, berdasarkan perbandingan, pihaknya merampas 65 kenderaan klon sepanjang 2015 dan 26 lagi pada awal Januari hingga kelmarin.

Nazli berkata, lapan anggota skuad khas JPJ yang terbabit dalam operasi berkenaan memiliki kemahiran dan kepakaran terutama berkaitan aspek teknikal spesifikasi kenderaan klon untuk memudahkan usaha mengesannya.

“Individu yang memiliki atau menggunakan kenderaan klon akan didakwa mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 (1) APJ 1987, Seksyen 108 (3) (f) APJ 1987 dan Seksyen 108 (3)(f) APJ 1987.

“JPJ Selangor dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan dalang yang menjual kenderaan klon ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penguatkuasaan JPJ bagi memantau kegiatan lori hantu di negeri ini, Nazli berkata, pihaknya mengambil tindakan jika ada aduan kehadiran kenderaan terbabit di jalan awam.

“Lori ini berdaftar tetapi hanya dibenarkan untuk digunakan di kawasan tapak pembinaan, jika ada aduan lori hantu berada di jalan awam, kenderaan itu akan disita selain pemiliknya dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengarahkan JPJ melakukan penguatkuasaan bagi memantau kegiatan lori hantu di seluruh negara berkuat kuasa Jumaat lalu.

Arahan itu dikuat kuasa susulan insiden lori hantu merempuh 37 kenderaan di depan sebuah sekolah menengah di Bandar Damai Perdana, Cheras, Kajang, Khamis lalu yang turut menyebabkan dua pelajar terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 7:08 AM