SULIAN (empat dari kanan) bersama rakannya menunjukkan artikel mengenai insiden pesawat TUDM.
SULIAN (empat dari kanan) bersama rakannya menunjukkan artikel mengenai insiden pesawat TUDM.
Suzaini Sulaiman

Kuala Selangor: Kejadian pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) CN235-220M yang mendarat cemas di perairan pantai Assam Jawa, dekat sini, 26 Februari lalu menaikkan nama jeti nelayan Kampung Assam Jawa.

Ini kerana kawasan jeti itu menjadi antara lokasi serpihan serta bangkai pesawat berkenaan dinaikkan ke darat berikutan berhampiran dengan lokasi pesawat terbabit melakukan pendaratan cemas.

Pada masa sama, kira-kira 30 nelayan jeti berkenaan turut disanjung kerana mereka bukan saja membantu pihak berkuasa menaikkan pesawat itu, malah antara nelayan terawal yang sama-sama menyelamatkan lapan anak kapal pesawat berkenaan sejurus ia melakukan pendaratan cemas.

Berikutan kejadian itu, nelayan kawasan berkenaan mengambil inisiatif mengumpul hampir semua artikel mengenai peristiwa terbabit terutama yang disiarkan Harian Metro sebagai kenangan.

Ketua pengkalan nelayan Sulian Abdul Malik, 51, berkata, hampir setiap artikel yang disiarkan di Harian Metro ditampal di papan kenyataan jeti berkenaan.

“Kejadian ini bukan saja mengejutkan penduduk di sini, tetapi rakyat Malaysia. Apa yang penting, kami turut bersama-sama membantu pihak berkuasa selama hampir dua minggu untuk menaikkan serpihan dan bangkai pesawat berkenaan.

“Tugasan ini bukan mudah kerana ia membabitkan pelbagai faktor seperti arus, cuaca selain kawasan yang berselut,” katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun, katanya, hasil kerjasama dan bantuan semua pihak, tugas mencabar itu dapat disempurnakan seperti yang dirancang walaupun adakalanya mereka turut berdepan pelbagai cabaran.

“Pelbagai usaha dilakukan bagi mengeluarkan badan pesawat yang terbenam dalam lumpur, mengeluarkan enjin dan serpihan lain. Malah, kami turut membina rakit khas bagi mengangkat bahagian pesawat berkenaan.

“Kami bukan saja bangga dapat menghulurkan bantuan bahkan turut berterima kasih kepada tentera, kontraktor serta semua pihak yang sama-sama berganding bahu menyempurnakan tugasan ini,” katanya.

Sulian berkata, sejak kejadian itu, jeti berkenaan menjadi tumpuan ramai dan artikel yang ditampal juga mendapat perhatian pengunjung.

“Ramai yang datang ke sini kerana mahu melihat lokasi pesawat itu dibawa naik dan ada antara pengunjung merakam gambar di sini.

“Artikel yang ditampal diibaratkan sebagai penghormatan buat nelayan.

“Kami bangga kerana gambar serta kisah tersiar menjadi tajuk utama akhbar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 10:10 AM