Fuad Hadinata Yaacob


Kuala Selangor: Sayap kiri pesawat TUDM CN235 berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Pangkalan Nelayan Sungai Bukit Rotan, Assam Jawa, dekat sini, kira-kira 4 petang tadi.

Operasi membawa keluar serpihan bangkai pesawat itu bermula 9 pagi dan kira-kira 3.30 petang sayap kiri itu berjaya dibawa keluar dari lokasi dan tiba di pangkalan setengah jam kemudian.

Komponen pesawat itu dibawa dengan menggunakan dua bot nelayan.

Ketua Nelayan pangkalan itu Sulian Abdul Malek, 51, berkata, sayap itu diikat menggunakan tong sebagai pelampung untuk mengapungkan komponen itu.

"Proses membawa keluar mengambil masa berikutan bahagian itu perlu dipisahkan selain keadaan air laut pasang," katanya di sini, tadi.

Menurutnya, 16 nelayan terbabit dalam operasi membantu pihak berkuasa membawa keluar bangkai pesawat itu.

Dalam kejadian 26 Februari lalu, pesawat yang membawa lapan anak kapal dan pegawai itu melakukan pendaratan cemas di pesisir pantai Assam Jawa, Kuala Selangor selepas dipercayai mengalami masalah enjin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 6:39 PM
FOTO Fuad Hadinata Yaacob
FOTO Fuad Hadinata Yaacob