NELAYAN menarik rakit yang dibina dengan menggunakan bot untuk membantu mengeluarkan cebisan pesawat ATM terhempas.
NELAYAN menarik rakit yang dibina dengan menggunakan bot untuk membantu mengeluarkan cebisan pesawat ATM terhempas.
Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Selangor: Usaha menarik keluar serpihan pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) CN235-220M menggunakan jalan laut berdepan kesukaran berikutan fenomena ‘air laut mati’ ketika ini.

Meskipun rakit yang dibina sekumpulan nelayan sejak kelmarin berjaya dibawa ke lokasi tapak nahas tengah hari semalam, kerja membawa naik komponen penting pesawat terpaksa ditangguhkan berikutan air laut cetek.

Difahamkan, seramai 20 nelayan dari Jeti Kampung Assam Jawa, di sini, bekerjasama membina rakit kayu bersaiz 6x6 meter bagi membawa serpihan bangkai pesawat itu terutama bahagian enjin dan kipas.

Rakit terbabit menggunakan lebih 50 pelampung daripada tong air bagi mengangkat berat yang dianggarkan mencecah hampir satu tan.

Ketua Pengkalan Jeti Kampung Assam Jawa, Sulian Abdul Malik berkata, fenomena air laut mati ini dijangka berterusan sehingga beberapa hari menyebabkan paras air di kawasan pesisir pantai kurang dalam kerana belum sampai kitaran air pasang besar.

Menurutnya, situasi itu sedikit merencatkan usaha mereka untuk membantu pihak berkuasa bagi mengeluarkan serpihan pesawat berkenaan.

“Pagi tadi (semalam) kami keluar sedikit lewat dari jeti disebabkan kerja akhir menyiapkan rakit dan apabila tiba ke lokasi, air sudah cetek dan semuanya terkandas.

“Operasi terpaksa dilakukan malam ini dan ia bergantung kepada paras air dan cuaca kerana air laut mati ini menyebabkan air tidak dalam di kawasan pesisir pantai meskipun ketika air pasang,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Sulian berkata, peluang yang diberikan pihak berkuasa kepada nelayan setempat untuk membantu operasi berkenaan dapat memberikan mereka pendapatan sampingan kerana diberikan upah.

“Ada nelayan yang tidak turun ke laut mencari hasil ikan kerana menyertai operasi ini dan pada saya mereka wajar diberikan ganjaran.

“Rata-rata mereka bersemangat membantu meskipun terpaksa berjemur di bawah terik matahari dan berendam di dalam selut semata-mata untuk membawa rakit ke lokasi nahas,” katanya.

Pesawat yang membawa lapan juruterbang dan anak kapal itu terpaksa melakukan pendaratan cemas sebelum terhempas di kawasan paya bakau di sini, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, semua mereka berjaya keluar daripada pesawat dan diselamatkan nelayan tempatan yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 8:59 AM