BAHAGIAN belakang badan pesawat yang dibawa naik dengan menggunakan kren.
BAHAGIAN belakang badan pesawat yang dibawa naik dengan menggunakan kren.
Oleh Suzaini Sulaiman


Kuala Selangor: Usaha membawa keluar bangkai pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) CN235-22M yang mendarat cemas di perairan pantai Assam Jawa, dekat sini, 26 Februari lalu, kini dalam peringkat terakhir.

Semalam, bahagian rangka pesawat itu berjaya dibawa ke Pangkalan Nelayan Sungai Bukit Rotan jam 3.30 petang manakala bahagian ekor dibawa kelmarin pada jam 5 petang.

Sebelum ini, sayap kiri dan kanan serta kedua-dua enjin dibawa ke pangkalan itu seterusnya dinaikkan ke jeti dan dihantar ke Pangkalan Udara Subang menggunakan lori.

Bagaimanapun, saiz bahagian belakang atau ekor pesawat itu yang besar sepanjang 6.4 meter menyukarkannya dibawa naik ke dalam kenderaan.

Difahamkan, bahagian itu perlu dipotong terlebih dulu sebelum diangkat menggunakan kren untuk dimasukkan ke dalam lori.

Sumber berkata, operasi membawa komponen utama seperti sayap, enjin dan rangka dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak terutama nelayan dan semalam, mereka mencari serpihan yang masih ada di lokasi nahas untuk dibawa ke Pangkalan Udara Subang.

Proses mencari serpihan itu dijangka berakhir hari ini.

“Komponen utama seperti sayap, enjin dan rangka pesawat sudah dibawa ke pangkalan dan kita masih mencari serpihan yang ada di lokasi nahas,” kata sumber itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 6:46 AM