ZARINA  menjual ayam kepada pembeli di Pasar Besar Siti Khadijah, semalam.
ZARINA menjual ayam kepada pembeli di Pasar Besar Siti Khadijah, semalam.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Beberapa hari lalu harga seekor ayam mencecah RM30 seekor yang dijual sesetengah peniaga yang menaikkan harga berlipat kali ganda hingga membebankan pembeli.

Tinjauan Harian Metro mendapati sejak pemantauan harga ayam dibuat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kelmarin, peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah sudah menjual ayam di bawah paras harga siling seperti yang ditetapkan.

Peniaga, Zarina Abdullah, 47, berkata, bermula semalam harga ayam yang dijual adalah RM9.50 sekilogram mengikut harga yang ditetapkan, namun masih ada peniaga di luar pasar yang mengambil kesempatan menyebabkan harga ayam di setiap tempat tidak selaras.

Katanya, bermula pada musim cuti persekolahan Mei lalu, harga ayam naik sekitar 20 sen hingga 30 sen setiap hari dan berikutan itu harga yang dijual boleh mencecah sehingga RM16 seekor.

“Sebagai peniaga, harga ayam yang dijual tidak munasabah kerana alasan mereka menaikkan harga disebabkan bekalan tidak mencukupi.

“Sebelum ini, kebanyakan peniaga menyalahkan pembekal kerana menjual ayam pada harga terlalu tinggi, namun sikap peniaga sendiri yang mahu mengaut keuntungan dalam masa yang singkat menyebabkan harga meningkat berlipat kali ganda,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pembeli Habibah Awang, 67, berkata, masalah kenaikan harga barang basah seperti ayam sudah dijangka kerana ia bukan saja berlaku pada hari raya malah pada hari biasa juga.

“Kita tidak boleh menyalahkan peniaga kerana bukan semua menjual ayam pada harga yang tinggi dan sebagai pembeli kita mempunyai hak untuk membuat pilihan,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan, KPDNKK Kelantan membuat pemeriksaan mengejut di pasar besar di seluruh negeri selepas menerima lebih 16 aduan daripada pengguna.

Hasil pemeriksaan itu, KPDNKK mengeluarkan 21 notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kepada peniaga di seluruh negeri ini dan Kota Bharu merekodkan kes tertinggi iaitu 12 kes.

Sementara itu, Pengarah KPDNKK negeri Datuk Ab Ghani Harun berkata, enam pemborong dikenakan tindakan menerusi pemeriksaan mengejut di sekitar bandar, di antara jam 10 pagi hingga 2.30 petang, semalam.

Katanya, daripada jumlah itu tiga pemborong melakukan kesalahan kerana tidak memiliki lesen sebagai pemborong dan tiga lagi tidak menyelenggara sistem bekalan atau tidak menyediakan buku stok bekalan.

“Hasil pemantauan, pemborong mendapat bekalan ayam dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang dengan harga di antara RM6.50 hingga RM7.50 sekilogram dan mereka jual pada peruncit pada harga RM15 seekor atau RM150 bagi 10 ekor ayam.

“Peruncit pula, menjual kepada pengguna di antara RM10 hingga RM35 seekor.

“Berikutan itu KPDNKK membuka kertas siasatan bagi mendakwa enam pemborong itu kerana menjual ayam dengan harga tidak munasabah mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 10:02 AM