PENGHUNI  memasang pelita sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
PENGHUNI memasang pelita sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Bagan Serai:“Jangan pisahkan kami, kalau ada orang nak ambil seorang daripada kami untuk dijadikan anak angkat, kami tak sanggup dan lebih selesa tinggal di sini”, demikian luahan seorang kakak kepada tiga beradik yang menumpang kasih di Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Cahaya Ain.

Kanak-kanak yang hanya mahu dikenali sebagai Nazira, 12, mengakui rumah perlindungan yang dihuninya itu bersama dua lagi adik berusia sembilan dan enam tahun dianggap sebagai kediaman sendiri, malah turut menganggap semua penjaga di kediaman terbabit sebagai ibu bapa.

“Kami bertiga sudah serasi di sini dan berharap kami tidak dipisahkan. Kami panggil ibu, mummy, daddy dan papa, kami anggap mereka seperti ayah dan ibu kami sendiri.

“Kehidupan di sini penuh disiplin dan didikan agama yang sempurna membuatkan kami semua sayang akan hubungan sedia ada dan tidak sanggup berpisah,” katanya.

Ditanya mengenai kedua ibu bapanya yang menetap di Kedah, Nazira berkata, mereka tiga beradik datang dari keluarga miskin menyebabkan ibu dan bapa menghantar mereka ke rumah berkenaan.

“Mak dan ayah kami susah dan kerja tidak menentu sehinggakan mereka berhutang banyak pihak, termasuk adik-beradik untuk membesarkan kami.

“Apabila mereka sudah tidak mampu menampung lagi bebanan hidup, mereka tekad menghantar kami ke sini sementara dan walaupun sedih berjauhan dengan ibu bapa sendiri, namun kami bersyukur kerana ada ‘ibu bapa’ baru yang mendidik kami dengan sempurna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 6:59 AM