Dr Ahmad Shukri (tiga dari kiri) melihat keadaan Muhammad Aisyfaheem yang menghidapi ketumbuhan otak sambil ditemani Muhammad Allwei (kanan.
Dr Ahmad Shukri (tiga dari kiri) melihat keadaan Muhammad Aisyfaheem yang menghidapi ketumbuhan otak sambil ditemani Muhammad Allwei (kanan.
Ainal Marhaton Abd Ghani

Kuantan: Ketika umat Islam rancak membuat persiapan akhir menyambut Syawal minggu depan, seorang suami dari Taman Murni, Sungai Isap, di sini, terpaksa mengenepikan hasrat berbuat demikian kerana memikirkan keadaan isterinya yang sakit.

Muhammad Allwei Zakaria, 36, lebih rela tidak menyambut Aidilfitri kerana mahu berkongsi penderitaan isterinya yang menghidap kanser payu dara tahap empat.

“Tumpuan saya ketika ini menjaga isteri terlantar akibat kanser payu dara yang merebak ke tulang.

“Saya tidak membuat persiapan menyambut Aidilfitri kerana apa yang lebih penting melihat isteri sembuh daripada penyakit dideritainya. Pakaian raya anak diuruskan kakak ipar, Hasnani,” katanya.

Muhammad Allwei ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail yang menyampaikan sumbangan wang dan barangan keperluan di rumahnya, semalam.

Menceritakan bagaimana penyakit isterinya dikesan, Muhammad Allwei berkata, Disember tahun lalu, isterinya, Norfazila Zainal, 33, yang juga kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), di sini, mengalami sakit badan dan demam berpanjangan selama dua minggu.

“Pada April lalu, selepas melakukan pemeriksaan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, isteri saya disahkan menghidap kanser payu dara tahap empat, tetapi tiada sebarang pembedahan dan rawatan kimoterapi dilakukan kerana keadaan isteri terlalu lemah.

“Kini, saya hanya membawanya menjalani rawatan alternatif termasuk berubat tradisional selain memberinya makanan tambahan dan minum air yang banyak alkali,” kata bekas eksekutif bank itu.

Bukan itu saja dugaan terpaksa dihadapi, malah lelaki berkenaan perlu menjaga dan menguruskan anak sulungnya, Muhammad Aisyfaheem, 6, yang terlantar akibat ketumbuhan otak.

Muhammad Allwei sudah lima bulan berhenti kerja di sebuah bank, di sini, demi menjaga Norfazila yang perlu diuruskan sepenuhnya selain menjaga dan menguruskan Muhammad Aisyfaheem.

Selain Muhammad Aisyfaheem, pasangan suami isteri terbabit mempunyai dua lagi anak iaitu Muhammad Aisyfayyadh, 4, dan Musaliya Aisyfaurah, 2.

“Muhammad Aisyfaheem dilahirkan normal, bagaimanapun penyakitnya dikesan pada usia tiga bulan dan selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), doktor memaklumkan ada ketumbuhan di otaknya.

“Tiga bulan anak saya duduk di hospital dan selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu, anak saya dibenarkan keluar hospital, tetapi kini hanya terlantar manakala makan dan minum menggunakan tiub dipasang melalui hidung,” katanya.

Menurutnya, selepas berhenti kerja, dia kini bergantung kepada sumber kewangan ahli keluarga saudara-mara dan rakan selain bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada Muhammad Aisyfaheem.

“Saya baru membuat permohonan bantuan untuk isteri di JKM dan berharap proses itu tidak mengambil masa lama kerana dia amat memerlukan rawatan dan pastinya membabitkan sejumlah wang yang besar,” katanya.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Muhammad Allwei di talian 016 9386840.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 10:25 AM