Md Daud Ahmad menunjukkan bil elektrik dan air yang tertunggak disebabkan tiada wang untuk membayar kerana isterinya, Khalijah Hashim sakit. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Md Daud Ahmad menunjukkan bil elektrik dan air yang tertunggak disebabkan tiada wang untuk membayar kerana isterinya, Khalijah Hashim sakit. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Kuala Nerang: Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi mengundang kesedihan buat seorang buruh berikutan isteri dicintai terlantar akibat kanser payu dara tahap empat.

Md Daud Ahmad, 63, lebih menyedihkan apabila rumah didiami mereka bakal bergelap susulan tunggakan bil elektrik gagal dilunaskan sejak tiga bulan lalu.

Dia yang bekerja di Jitra memberitahu terpaksa meninggalkan isterinya, Khalijah Hashim, 53, seorang diri di rumah ketika keluar bekerja.

"Sebelum keluar bekerja, saya memasak dahulu dan menyuap makanan untuk isteri selain menyiapkan dirinya.

"Namun saya bimbang bekalan air dan elektrik akan dipotong pada bila-bila masa berikutan bil elektrik sudah mencecah lebih RM800 manakala air pula lebih RM400 kerana saya tak ada duit untuk bayar.

"Setiap tiga hari sekali, saya terpaksa tebalkan muka berhutang bagi membeli barangan keperluan asas seperti ikan serta sayur dan barangan lain seperti gula dan telur kerana tak mampu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Akibatnya, hutang itu bertambah setiap hari sehingga mencecah lebih RM600.

Katanya, dua anak mereka pula masing-masing sudah berkahwin dan hidup susah bersama keluarga masing-masing.

"Mujurlah peniaga kedai runcit membenarkan saya berhutang. Namun saya malu kerana hutang lama masih tertunggak; Kalau ada duit, saya bayar sikit-sikit," katanya.

Md Daud berkata, isterinya menghidap kanser payu dara tahap empat sejak tahun 2015 dan kini terlantar selepas sel kanser itu terus menyerang bahagian pinggang, punggung dan tulangnya menyebabkan dia tidak dapat bergerak.

Katanya, segala tugas hariannya di rumah seperti memasak, mencuci baju dan cuci pinggan dilakukan olehnya walaupun terpaksa bangun awal pagi sebelum pergi kerja.

"Rumah kami tiada mesin basuh. Disebabkan itulah saya mencuci pakaian menggunakan tangan setiap hari.

"Jika bekalan elektrik dan air dipotong, memang masalah bagi kami," katanya.

Menurut Md Daud, sejak sel kanser isterinya menyerang kembali, dia tidak berselera makan dan hanya bergantung pada ubat morfin diberi doktor.

Katanya, dia perlu membawa isterinya menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar sebulan sekali.

"Kami terpaksa menyewa kereta mencecah kos sehingga RM400. Ia tidak termasuk bayaran tol dan kos minyak ke sana," katanya.

Menurutnya lagi, dia hanya bekerja sebagai buruh dengan upah harian bergantung pada kerja dilakukan.

"Isteri pernah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali dan lima kali rawatan radioterapi di HPP dan HSB.

"Kesan itu juga menyebabkan bahagian bawah pinggangnya sakit selain hendak membuang air kecil dan besar juga sakit," katanya.

Dalam pada itu Khalijah berkata, dia sedih apabila tidak dapat menyediakan juadah berbuka puasa dan menyambut Hari Raya untuk keluarganya disebabkan sakit yang dihidapinya itu.

Katanya, sejak sakit, dia tidak pernah memikirkan persiapan membeli baju raya atau memasak juadah untuk anak-anak kerana baginya rawatan lebih penting.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang kepada Khalijah Hashim melalui akaun Bank Rakyat 10210000112730.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 1:17 PM