MUHAMMAD Allwei menjaga anaknya yang tidak dapat bergerak akibat ketumbuhan di otak.
MUHAMMAD Allwei menjaga anaknya yang tidak dapat bergerak akibat ketumbuhan di otak.

Kuantan: “Saya reda dengan ujian berat ini. Dalam satu masa saya menjaga isteri, Nor Fazila Zainal, 34, yang menghidap barah payudara tahap empat sejak setahun lalu.

“Anak sulung, Mohammad Aisy Faheem, 7, pula sudah tujuh tahun terlantar tidak dapat bergerak disebabkan ketumbuhan di bahagian otaknya,” kata Muhammad Allwei Zakaria, 37, yang menetap di Taman Indera Sempurna, di sini.

Katanya, bagi menjaga anak dan isteri, dia terpaksa berhenti kerja dengan syarikat perbankan tahun lalu untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.

Walaupun berdepan masalah kewangan untuk menyara keluarga, demi tanggungjawab terhadap insan tersayang, dia perlu membuat keputusan yang tepat.

Bapa kepada tiga anak berusia antara tiga hingga tujuh tahun itu berkata, sokongan kuat keluarga memberikannya semangat untuk menghadapi ujian yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

“Ketika dilahirkan, Mohammad Aisy Faheem tidak mengalami sebarang masalah kesihatan namun pada usia tiga bulan, doktor mengesahkan ada ketumbuhan pada otaknya. Walaupun pembedahan dilakukan, keadaan anak saya tidak banyak berubah.

“Pada usia tujuh tahun, dia tidak mampu bergerak. Kehidupan sehariannya hanya terbaring di atas katil. Susu khas disediakan setiap hari menggunakan salur getah pada bahagian hidungnya,” katanya.

Muhammad Allwei ditemui selepas menerima sumbangan RM5,000 serta barangan keperluan harian daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang dan Persatuan Wanita TNB cawangan Kuantan yang disampaikan Pengurus Besar TNB Pahang Datuk Shahruddin Mohd Simen, di sini, kelmarin.

Muhammad Allwei berkata, setiap hari dia hanya mampu berdoa supaya dipermudahkan segala urusan menjaga anak dan isteri yang kini terlantar di katil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 4:36 AM