MUHAMMAD Aisyfaheem.
MUHAMMAD Aisyfaheem.
NORFAZILA menghidap kanser payudara tahap empat.
NORFAZILA menghidap kanser payudara tahap empat.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: “Saya mohon mereka di luar sana tidak mengambil kesempatan ke atas kesusahan keluarga kami.

“Saya hargai individu ingin membantu dengan memberikan pelbagai jenis bantuan, tetapi ada juga cuba memanipulasikan keadaan kami demi kepentingan sendiri.”

Itu kata Muhammad Allwei Zakaria, 36, menjaga isterinya yang menghidap barah payudara tahap empat serta anak sulung mereka mengalami ketumbuhan otak.

Dia berkata, sejak berita mengenai keluarganya disiarkan media beberapa bulan lalu, banyak bantuan seperti wang tunai dan keperluan harian disumbangkan individu dan sektor korporat.

Bagaimanapun, Muhammad Allwei berkata, dia menyedari ada segelintir pihak cuba menangguk di air keruh kononnya mewakili keluarga mereka menerima sumbangan daripada orang ramai.

Muhammad Allwei terpaksa berhenti kerja kerana menjaga isterinya, Norfazila Zainal, 33, dan anak lelaki mereka, Muhammad Aisyfaheem, 6, sejak setahun lalu mengharapkan tiada pihak yang cuba menipu orang ramai menggunakan nama keluarganya.

Pasangan itu yang turut mempunyai dua lagi cahaya mata, Muhammad Aisyfayyadh, 4, dan Musaliya Aisyfaurah, 2, kini tidak putus menerima bantuan daripada pelbagai pihak selepas kisah kehidupan mereka diviralkan di media sosial, baru-baru ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berhubung dengan Muhammad Allwei di talian 016-9386840.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 9:31 AM