GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Sungai Petani: Tindakan seorang penganggur mengedar dadah di sekitar daerah ini dan memiliki selaras senapang angin bersama pedang samurai serta buku lima mengundang padah apabila dia ditahan di sebuah rumah di Kampung Pantai Cicar, di sini, pagi tadi.

Lelaki berusia 33 tahun itu yang berada dalam kereta di depan rumahnya, melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis kira-kira 10.45 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kegiatan suspek mengedar dadah secara kecil-kecilan, bertindak mengesannya.

Menurutnya, sebaik tiba di kawasan rumah itu, polis mendapati suspek dalam keadaan mencurigakan keluar dari kereta dan cuba melarikan diri namun dia berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan pada badannya menemui tiga paket plastik lutsinar besar dan lapan bungkusan kecil mengandungi serbuk serta ketulan jernih disyaki syabu seberat 16.65 gram.

“Turut ditemui dua paket plastik lutsinar kecil mengandungi serbuk putih disyaki heroin seberat 2.06 gram bersama penimbang digital dan wang tunai RM1,300," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Saifi berkata, pemeriksaan dalam rumah pula menemui selaras senapang angin, pedang samurai sepanjang 68 sentimeter dan buku lima.

"Siasatan juga mendapati suspek menjadi pengedar kecil-kecilan di daerah ini dan memiliki tiga rekod jenayah membabitkan satu kes dadah dan dua jenayah.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 11:53 PM