Pelajar Malaysia bersama  warga emas dan OKU di Gyeojashi House of Love, Gyenggi, Korea pada awal Jun lalu.
Pelajar Malaysia bersama warga emas dan OKU di Gyeojashi House of Love, Gyenggi, Korea pada awal Jun lalu.

Berada dalam komuniti majoriti penganut agama lain bukan penghalang kepada pelajar Malaysia di Korea Selatan membuat kerja amal sempena Ramadan tahun ini.

Bagi Setiausaha Kelab Umno Luar Negara (KULN) Korea Selatan Nurul Farhanis Mohd Nor, 22, kumpulan pelajar di sana mengambil inisiatif terbabit kerja amal sepanjang bulan Ramadan termasuk membantu komuniti bukan Islam di negara itu.

Katanya, kelab terbabit menganjurkan program seperti gotong-royong membersihkan pusat jagaan orang tua dan orang kurang upaya (OKU) di Gyeojashi House of Love di Gyeonggi, Seoul.

“Kami juga lancar Tabung ‘Hopes for All’ dalam kalangan pelajar untuk disalurkan kepada anak yatim di Malaysia dari segi pakaian mahupun wang,” katanya yang juga pelajar tahun dua Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa di Inha University, Seoul.

Nurul berkata, sumbangan itu disalurkan kepada golongan sasar berkenaan sebaik saja mereka kembali ke tanah air pada 25 Jun ini bagi menyambut Aidilfitri nanti.

“Sempena bulan Ramadan ini, kita mengasingkan barangan bantuan dalam tabung terbabit yang dikhususkan sebagai sumbangan persediaan hari raya.

“Ini kerana program sumbangan itu berjalan sepanjang tahun. Namun, kali ini kita mahu memberi tumpuan pada bantuan persiapan Aidilfitri yang dilaksanakan sebelum Ramadan lagi,” katanya yang berasal dari Kulai, Johor.

Di New Zealand, meskipun berbeza bangsa dan agama, hubungan pelajar Malaysia di Universiti Otago dengan penduduk Dunedin, umpama keluarga besar tambahan pula apabila tiba Ramadan.

Hubungan mereka terjalin ketika membantu pelarian Syria dua bulan lalu dan kumpulan pelajar ini juga sering mengadakan gotong royong di sekitar kawasan itu.

Pelajar Sains Kesihatan, Muhammad Aliff Zaini, 21, berkata, sempena Ramadan ini, kumpulan pelajar Malaysia bergotong-royong membersihkan sekitar Masjid Dunedin di samping memasak juadah berbuka untuk dinikmati bersama penduduk setiap hari.

“Lebih menarik, bukan penduduk Islam saja yang berkunjung ke masjid berbuka bersama kami, malah yang bukan Islam juga terbabit membuatkan kami lebih bersemangat berpuasa.

“Aktiviti ini dapat mengajak penduduk bukan Islam berpuasa bersama dan mendekati budaya Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 12:49 PM