SARIPAH bersama Muhammad Imran selepas menerima sumbangan pada Majlis Sumbangan Zakat Program Ehsan TH 2016 Peringkat Wilayah Persekutuan di Dataran PPR Desa Tun Razak, Cheras.
SARIPAH bersama Muhammad Imran selepas menerima sumbangan pada Majlis Sumbangan Zakat Program Ehsan TH 2016 Peringkat Wilayah Persekutuan di Dataran PPR Desa Tun Razak, Cheras.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: “Biar Amy meninggal dunia dahulu, bukan ibu (meninggal dunia). Jika ibu tiada, Amy tiada teman tidur dan tempat bermanja,” katanya.

Itu kata-kata yang sering diucapkan seorang pesakit Cerebral Palsy atau lumpuh otak, Muhammad Imran Fahimi Sabri, 16, kepada ibunya Saripah Mad Piah, 52, setiap kali mereka duduk bersembang bersama.

Kata-kata itu juga sering membuatkan Saripah menitiskan air mata kerana tersentuh dengan permintaan anaknya.

Meskipun dikategorikan orang kurang upaya (OKU), tetapi dia memikirkan masa hadapannya sendiri terutama mengenai siapa yang menjaganya kelak.

Muhammad Imran Fahimi yang lebih mesra dengan panggilan Amy antara 694 penerima sumbangan zakat daripada Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Program Ehsan TH 2016 di Dataran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras, di sini, semalam.

Setiap penerima menerima RM500 yang disampaikan Pengarah TH Wilayah Persekutuan Zaiton Mohd Yusoff.

Saripah berkata, anaknya yang menghidap penyakit itu sejak dilahirkan seorang yang sangat manja dan tidak boleh berpisah dengannya.

“Sebab itu sehingga kini Amy masih tidur bersama saya atau suami dan enggan dengan adik-beradiknya yang lain.

“Saya banyak beri perhatian kepada Amy berbanding lima anak lain bukan kerana pilih kasih, tetapi keadaan dirinya yang perlu diuruskan seperti kanak-kanak kecil,” katanya yang menetap di PPR berkenaan sejak 11 tahun lalu.

Suri rumah itu berkata, dia bersyukur anaknya terpilih menerima sumbangan berkenaan buat kali kedua dan menggunakan wang terbabit untuk membeli barangan keperluan Aidilfitri Amy.

“Walaupun Amy OKU, dia perlu merasai kegembiraan suasana hari raya seperti insan normal lain.

“Terima kasih kepada TH atas sumbangan ini dan Baitulmal kerana menaja lampin pakai buang Amy sejak beberapa tahun lalu, sekali gus meringankan beban keluarga saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:10 AM