najib  berselfie bersama pemenang di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.
najib berselfie bersama pemenang di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Kerajaan memberi jaminan akan sentiasa terbuka menerima inovasi baru terutama idea yang boleh membantu meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia pada masa depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, hanya negara yang menggalakkan budaya inovasi dan berfikiran kreatif dalam kalangan rakyatnya mampu berdepan persekitaran persaingan semakin sengit kini.

Beliau berkata, bagi memastikan Malaysia dapat terus bersaing di hadapan, budaya inovasi perlu digalakkan lagi.

“Sebagai sebuah negara kita mesti menggalakkan inovasi kalau ingin ke hadapan sebagai sebuah negara dalam persekitaran yang semakin sengit persaingannya.

“Hanya negara yang mampu berinovasi saja yang akan berjaya. Saya secara peribadi menggalakkan inovasi kerana inovasi adalah kunci kepada kejayaan kita,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Sime Darby, Cabaran Inovator Muda (YIC), di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Yayasan Sime Darby Tun Musa Hitam; Pengerusi Sime Darby Tan Sri Abdul Ghani Othman serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Pada majlis itu, pasukan Kem Sabah muncul juara sulung Cabaran Inovator Muda itu menerusi projek ‘Robin Food’ yang memfokuskan penyelesaian mengurangkan pembaziran makanan melalui aplikasi yang menghubungkan komuniti seperti badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan hotel dan restoran.

Kumpulan dianggotai Allegra Chan Qin Hur, 16, Ezra Adrian Robert, 15, Ivan Avannus, 15, dan Joseph Chung, 14, itu menerima hadiah wang tunai RM10,000 selain komputer riba setiap seorang.

Seramai 200 anak muda berusia 13 dan 16 tahun terbabit dalam pertandingan itu untuk membentangkan idea masing-masing bagi menangani isu global, membasmi kemiskinan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 10:13 AM