PEKERJA sibuk mendirikan khemah untuk mangsa kebakaran.
PEKERJA sibuk mendirikan khemah untuk mangsa kebakaran.
Junaidi Ladjana


Kudat: Tindakan seorang wanita yang tertidur ketika memasak dipercayai punca menyebabkan 250 rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air di Kampung Landung Ayang Laut di sini, awal pagi kelmarin.

Susulan kejadian jam 4.50 pagi itu menyebabkan hampir 222 keluarga membabitkan 1,316 penghuni hilang tempat tinggal, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat Mohiddin Abdul Majid berkata, siasatan awal dijalankan mendapati kebakaran dipercayai berpunca dari dapur gas yang terbakar ketika pemiliknya memasak.

“Setakat ini, siasatan awal mendapati kejadian kemungkinan berpunca daripada kelalaian seorang wanita yang memasak sebelum tertidur menyebabkan dapur gas itu terbakar sebelum merebak dan memusnahkan 250 rumah lain.

“Wanita berusia 40-an itu dipercayai sudah melarikan diri sebaik kebakaran berlaku,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran itu.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kudat Sapdin Ibrahim berkata, semua mangsa kini ditempatkan di khemah yang didirikan di kawasan padang Sekolah Kebangsaan (SK) Landung Ayang.

“Semalam (kelmarin) kita sudah mendirikan 10 khemah dan hari ini (semalam) kita akan mendirikan 20 khemah bagi bagi menempatkan semua mangsa. Kita juga menyediakan makanan dan minuman kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga mendapati pelbagai bantuan daripada kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Wanita UMNO Bahagian Kudat dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 9:01 AM