Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Juwan Riduan

Kudat: Kebakaran besar di perkampungan atas air di Kampung Landung Ayang Laut di sini, petang semalam memusnahkan 179 buah rumah.

Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah di kawasan berkenaan sebelum merebak ke rumah lain.

Beberapa penduduk yang cuba memadam kebakaran menggunakan baldi berisi air, namun api marak begitu cepat disebabkan struktur rumah berasaskan kayu dan agak rapat antara satu sama lain.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.26 petang.

Menurutnya, sepasukan 48 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Kota Marudu dan dibantu Persatuan Bomba Sukarela (PBS) dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi itu turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

"Operasi memadam ditamatkan pada 8.17 malam dan tiada mangsa terkorban dilaporkan.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Berita berkaitan

Lebih 50 rumah atas air di Kampung Landung Ayang terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 12:40 AM