ANTARA bahan yang digunakan tiga lelaki untuk menangkap ikan. FOTO ihsan ESSCOM
ANTARA bahan yang digunakan tiga lelaki untuk menangkap ikan. FOTO ihsan ESSCOM
Junaidi Ladjana


CUBAAN tiga lelaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Kampung Landung Ayang, Kudat, semalam, gagal selepas perbuatan mereka dikesan Pasukan Polis Marin (PPM).

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota Unit Risikan PPM Kudat membuat pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan di kawasan berkenaan, kira-kira 3 petang.

“Hasil pemeriksaan, anggota kita menemui beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk aktiviti mengebom ikan.

“Antaranya, tiga ‘detonator’ serta sumbu, dua gulung sumbu, empat kotak mancis dan 500 gram baja ammonia di bot berkenaan,” katanya di Kudat, hari ini.

Menurutnya, semua suspek berusia antara 28 hingga 44 tahun bersama barang rampasan termasuk bot di bawa ke pangkalan PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958.

“Sehubungan itu, ESSCOM memerlukan kerjasama semua pihak agar melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti pengeboman ikan kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 9:04 PM