ANTARA rumah yang musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan pembaca
ANTARA rumah yang musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan pembaca
Junaidi Ladjana

 

Kudat: Lebih 1,000 penduduk hilang tempat tinggal selepas 250 rumah di Kampung Landung Ayang Laut, di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 4.50 pagi itu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan selepas semua penghuni rumah menyelamatkan diri.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.01 pagi, dua jentera dengan kekuatan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dikerah ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan rumah sebanyak 30 buah dan operasi memadam terus dilakukan bagi mengelak api merebak.

"Api dikawal pada 7.30 pagi dan usaha memadam bara api yang masih ada sedang giat dijalankan pasukan BBP Kudat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu Pasukan Bomba dan Sukarela (PBS) Kampung Air, seramai enam orang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 8:22 AM