pemandu Mercedes-Benz S400 diminta tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
pemandu Mercedes-Benz S400 diminta tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
myMetro

Johor Bahru: Polis meminta pemandu Mercedes-Benz S400 bernombor pendaftaran Singapura SKN 8285 M supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan tindakannya yang didakwa memandu secara melulu sehingga menjadi viral di Facebook (FB), sejak kelmarin.

Gambar pemandu itu bersama kenderaannya turut dirakam pengguna jalan raya yang berang dengan tindakannya memandu dalam keadaan berbahaya malah didakwa tidak sopan dan berlagak apabila ditegur.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik negeri Superintendan Baharudin Mat Taib berkata, walaupun lelaki itu mendakwa dia tidak menyebabkan kemalangan, namun masih boleh disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, mengikut seksyen itu, dia boleh didakwa kerana memandu secara melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang mendatangkan bahaya kepada orang awam.

“Berhubung status di FB yang viral itu, saksi membuat laporan polis dan pemandu itu boleh disiasat.

“Diingatkan bahawa walaupun tidak terbabit dalam kemalangan, namun cara pemanduan yang melulu dan berbahaya boleh disiasat mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987.

“Semakan juga dilakukan dan pemandu terbabit didapati mempunyai 13 rekod saman yang belum dijelaskan iaitu 12 saman atas kesalahan memandu laju dan satu saman atas kesalahan memandu di lorong kecemasan,” katanya.

Menurut pengguna FB, kejadian dipercayai berlaku di Plaza Tol Kempas, di sini, apabila lelaki terbabit didakwa memandu secara berbahaya dengan menukar lorong tanpa isyarat sesuka hati.

Dakwanya, tindakan pemandu itu menyebabkan empat kenderaan terpaksa menekan brek secara mengejut dan berlanggar sesama mereka manakala pemandu berkenaan meneruskan pemanduan.

Bagaimanapun, dia dikejar pengguna jalan raya lain dan menahannya selepas plaza tol terbabit, namun didakwa berlagak seperti samseng dan insiden itu kemudian mencetuskan kemarahan pengguna laman sosial.

Pada masa sama, Baharudin menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat lanjut supaya menghubungi talian hotline 07-2212999 atau menyalurkan info melalui FB Polis Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 8:26 AM