Hasbi Sidek


PEMANDU lori yang memandu melawan arus hingga mengakibatkan kemalangan di Kilometer 432 Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Sungai Buaya, Isnin lalu akan dituduh di mahkamah, esok.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai berkata, lelaki berusia 37 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu untuk pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Pemandu lori kepada sebuah syarikat pembekal ubat dijangka dituduh jam 9 pagi esok mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pemandu lori terbabit memandu melawan arus sejauh tiga kilometer sebelum kenderaan itu melanggar sebuah lagi lori yang berada di lorong sama.

Semakan mendapati lelaki terbabit memiliki 64 saman, 36 waran tangkap dan 15 kes trafik tidak dikompaun, selain tiada lesen memandu.

Hasil ujian saringan awal dilakukan terhadap pemandu lori berkenaan didapati negatif dadah.

Berita berkaitan

Pemandu 'lori gila' ada 64 saman, 36 waran tangkap

Lori 'menggila' di lebuh raya [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 7:30 PM