Muhamad Izzat Nasuruden

Ipoh: “Jangan pernah putus asa, walaupun ramai yang mengatakan kita tiada harapan lagi,” kata Airin Mohd Faizal, 9, pesakit kanser fibrosarcoma yang kini seperti mendapat kehidupan baru apabila tidak perlu memotong kaki kirinya akibat ketumbuhan sebesar 4 kilogram (kg) yang dialaminya.

Murid tahun 3 Sekolah Kebangsaan Sri Ampang, di sini, dikesan mempunyai ketumbuhan berkenaan sejak lahir sebelum semakin serius hujung tahun lalu hingga membengkak dan menyukarkannya untuk berjalan.

Airin berkata, dia bersyukur kerana kakinya tidak perlu dipotong walaupun pakar di beberapa hospital tempatan dan luar negara mencadangkan agar ia dibuang secepat mungkin bagi mengelak barah itu merebak ke anggota lain, sekali gus menyelamatkan nyawanya.

“Syukur kerana kaki saya berjaya diselamatkan dan terima kasih kepada semua terutama ibu bapa dan pihak Hospital Kanser Fuda, Guangzhou, China dan saya harap kembali sihat dan berjalan seperti sebelum ini kerana saya minat dalam sukan larian,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu bapanya di Kampung Sungai Rokam, di sini semalam.

Menurutnya, ketika mengetahui kaki kiri perlu dipotong dia sangat sedih dan takut tidak boleh berjalan lagi, namun kini berasa sangat gembira kerana kakinya yang besar serta berat itu kembali kecil tanpa perlu dipotong.

Sementara itu, bapanya Mohd Faizal Yusoff, 41, berkata anak bongsunya daripada tiga beradik itu dikesan menghidap kanser terbabit sejak dilahirkan dan pada usia 10 bulan, Airin menjalani beberapa rawatan termasuk komiterapi, namun rawatan terbabit memberi kesan sampingan kepada anaknya menyebabkan dia beralih kepada perubatan alternatif.

“Kami membawa Airin ke Guangzhou Mac lalu untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital dan sekali lagi dihampakan kerana keputusan yang kami terima masih sama kaki anak terpaksa dipotong dan perlu jalani kimoterapi.

“Sepanjang rawatan itu kaki Airin semakin membengkak hingga hampir 4 kg dan ketika itu barulah kami dapat berhubung dengan pihak Hospital Kanser Fuda yang memindahkan Airin ke hospital mereka untuk membuang ketumbuhan itu tanpa perlu memotong kaki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 7:26 AM
PENGERUSI Hospital Fuda di Guangzhou, China, Dr Xu Ke Cheng (kiri) bersama Pengerusi Persatuan Kasih Sayang Kekeluargaan Pulau Pinang, Datuk H'ng Ban Choon (dua kiri) melihat kaki Airin yang menghidap  kanser fibrosarcoma.
PENGERUSI Hospital Fuda di Guangzhou, China, Dr Xu Ke Cheng (kiri) bersama Pengerusi Persatuan Kasih Sayang Kekeluargaan Pulau Pinang, Datuk H'ng Ban Choon (dua kiri) melihat kaki Airin yang menghidap kanser fibrosarcoma.