Siti Fatimah Nasir


Kuala Lumpur: Kelainan memperkenalkan menu Nasi Kukus Special dan Tulang Ketuk Singapura menjadikan gerai diusahakan sebuah keluarga yang berasal dari Singapura ini mendapat perhatian pengunjung Bazar Ramadan Keramat Mall di sini.

Perniagaan diusahakan Qaseh Amelia Ahmad Mokhtar, 39, sejak 10 tahun lalu itu turut dibantu ibu saudaranya, Batrakafila Ishak, 40.

Menu Nasi Kukus Special disaji bersama hidangan set Ayam Goreng Berempah, Nenas Bombay, Ikan Tamban Masak Belada, Gulai Kari dan Sambal Belacan pada harga RM7.

“Pada masa sama, gerai kami juga menyediakan hidangan istimewa Tulang Ketuk Singapura hasil resipi nenek di Singapura untuk diperluaskan di Malaysia.

“Untuk hidangan Tulang Ketuk Singapura ini, kami turut menyajikan roti budget untuk dicicah bersama hidangan ini supaya dapat mencipta sedikit kelainan yang tiada pada pembuat Tulang Ketuk Singapura yang lain,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Keramat Mall, di sini.

“Saya belajar untuk menganalisis modul perniagaan saya dan juga mengenal pasti jurang atau bahagian yang tidak saya kenal pasti sebelum ini dengan bantuan program Komuniti Usahawan Coca-Cola (Coca-Cola KU). Oleh itu, sekarang jualan saya meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2017 @ 12:41 AM