ANGGOTA polis memeriksa gajet  tiruan yang dijual kepada orang ramai.
ANGGOTA polis memeriksa gajet tiruan yang dijual kepada orang ramai.
Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Jualan murah telefon pintar jenama Apple pada harga semurah RM500 seunit akhirnya membongkar kegiatan peniaga di Jalan Jelatek dekat sini, yang dikesan menjual gajet tiruan kepada orang ramai.

Promosi jualan ‘harga runtuh’ telefon pintar dan aksesori jenama terkemuka itu dikesan dilakukan sebuah premis yang mendakwa ia produk tulen.

Premis berkenaan dikesan aktif menipu orang ramai dengan menjual telefon tiruan buatan China dipercayai sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur melakukan serbuan, jam 2 petang, kelmarin.

Hasil serbuan itu, 40 unit telefon bimbit jenama iPhone dan 86 aksesori telefon jenama Beats bernilai RM81,780 dirampas.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, pihaknya melakukan risikan sejak seminggu lalu dan mendapati premis itu menjual telefon pintar dan aksesori tiruan.

Menurutnya, harga telefon pintar dijual murah berbanding harga asal yang mencecah ribuan ringgit.

“Serbuan dijalankan bersama wakil pemilik sah cap dagang yang membuat aduan berhubung penjualan telefon bimbit jenama tiruan di premis berkenaan.

“Kami mengambil keterangan pemilik dan pekerja premis berkenaan untuk mengenal pasti pembekal produk berkenaan atau dibawa masuk dari luar negara,” katanya.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)b, Akta Perihal Dagangan 2011.

Beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika membeli telefon pintar harga murah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 7:34 AM